Jumaat, 31 Ogos 2012

Kata Seru


Kata seru ialah kata yang digunakan untuk menggambarkan perasaan seseorang seperti marah, sedih, gembira, sakit, hairan, kagum, terkejut, dan sebagainya. Cara penggunaannya disesuaikan dengan intonasi pengucapan iaitu dengan nada meninggi atau menurun. Dalam bahasa Melayu, kata seru digunakan untuk membentuk ayat seru. 

Perhatikan penerangan di bawah.
Kata SeruPeneranganAyat Contoh
AduhDigunakan untuk
(a)Menyatakan perasaan sakit
(b)Menyatakan perasaan kagum/hairan
1. Aduh, sakitnya tanganku!
2. Aduh, indah sekali pemandangan di sini!
AduhaiDigunakan untuk menyatakan perasaan sedih/dukacita
1. Aduhai, malang sekali nasib peminta sedekah itu!
2. Aduhai, apalah malang nasibku ini!
AhDigunakan untuk menyatakan perasaan penolakan/tidak bersetuju/membantah
1. Ah, aku tidak bersetuju!
2. Ah, aku tiada masa untuk melayan engkau!
AmboiDigunakan untuk menyatakan perasaan kagum/hairan
1. Amboi, sombongnya dia!
2. Amboi, hebat sekali engkau beraksi!
Cis/cihDigunakan untuk
(a) Menyatakan perasaan marah
(b) Menyatakan perasaan mengejek/menyindir
1. Cis, kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga!
2. Cih, harimau di hutan lagi dapat kujinakkan, inikan pula cicak mengkarung!
EhDigunakan untuk menyatakan perasaan hairan/terkejut
1. Eh, bilakah kau pulang ke tanah air!
2. Eh, Salim pun ada di sini!
HaiDigunakan untuk
(a) Menyatakan perasaan hendak menegur atau menyapa seseorang
(b) Cuba menarik perhatian
1. Hai, nama saya Patsy!
2. Hai, lihat anak kecil di hujung sana itu!
NahDigunakan untuk menarik perhatian dan pelbagai maksud lain
1. Nah, ambillah pemberikanku ini!
2. Nah, serahkan saja perkara ini kepada mereka!
WahDigunakan untuk menyatakan perasaan kagum/takjub
1. Wah, tinggi sungguh cita-citamu!
2. Wah, mulia sekali hatimu!
WahaiDigunakan untuk
(a) Menyatakan perasaan dukacita
(b) Mendapatkan perhatian
1. Wahai kawan-kawanku, marilah kita bersatu padu!
2. Wahai anak-anak bangsaku, janganlah leka dengan kemewahan dunia!



Tandaan !

Semua ayat seru, tanda serunya mestilah diletakkan di hujung ayat dan bukannya selepas kata seru. Semua ayat seru ditandai dengan tanda seru (!).


Kesalahan umum

1. Kesalahan menggunakan kata seru yang salah atau tidak menggambarkan perasaan yang dinyatakan. Contoh:
(a) (i) Wahai, gemuknya kambing peliharaan Pak Jusoh ini! (SALAH)
(ii) Wah, gemuknya kambing peliharaan Pak Jusoh ini! (BETUL)
(b) (i) Cis, sakit sungguh jariku ini! (SALAH)
(ii) Aduh, sakit sungguh jariku ini! (BETUL)
Ayat (a)(i) dan (b)(i) salah kerana tidak menggunakan kata seru yang betul. Gunakan kata seru berdasarkan gambaran perasaan yang dinyatakan dalam ayat tersebut.
2. Kesalahan meletakkan tanda seru selepas kata seru dalam ayat. Contoh:
(a) (i) Nah! ambillah buku ini sebagai hadiah daripadaku. (SALAH)
(ii) Nah, ambillah buku ini sebagai hadiah daripadaku! (BETUL)
(b) (i) Wah! bergaya benar dia hari ini. (SALAH)
(ii) Wah, bergaya benar dia hari ini! (BETUL)
Ayat (a)(i) dan (b)(i) salah kerana meletakkan tanda seru selepas kata seru dalam ayat seru. Untuk semua ayat seru, tanda serunya mestilah diletakkan di akhir ayat seru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan