Motosikal adalah sejenis kenderaan berodua dua yang berenjin serta boleh dilesenkan untuk digunakan di atas jalan raya. Sebuah motosikal berupaya membawa seorang penunggang serta seorang pembonceng. Motosikal lazimnya digerakkan oleh enjin petrol kecil sama ada 2 lejang atau 4 lejang dengan kapasiti enjin antara 50 cc sehingga sebesar 2000 cc. Kebanyakan motosikal mempunyai tangki minyak berbentuk air mata di bahagian atas hadapan motosikal antara bar pemegang dan tempat duduk penunggang, tetapi motosikal jenis skuter dan kapcai pula mempunyai tangki minyak di bawah tempat duduk.
Motosikal bergerak berasaskan hukum giroskopik sebagaimana basikal. Melalui hukum ini, motosikal hanya akan tegak apabila bergerak. Ketika di selekoh, daya emparan yang terhasil akan menjejaskan kestabilan motosikal, oleh itu penunggang perlu menunggang condong sedikit mengikut arah selekoh bagi mengimbangi daya emparan tersebut.
Selain kestabilan, kelemahan utama motosikal ialah tiada perlindungan terhadap cuaca buruk serta penunggang motosikal amat mudah terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya. Sungguhpun demikian, motosikal adalah satu bentuk pengangkutan yang tetap diminati oleh sebahagian pengguna jalan raya kerana menjimatkan bahan api, murah, mudah dimiliki serta penunggang boleh mencelah ketika jalan raya sesak.
Sejarah
Sejarah motosikal bermula apabila manusia cuba untuk memasang enjin pada basikal. Berikutan dengan itulah terhasilnya motosikal pertama di dunia yang digerakkan oleh enjin wap, diikuti dengan motosikal yang menggunakan enjin petrol pada akhir kurun ke-19. Sejak daripada itulah rekaan motosikal terus berevolusi mengikut zaman sehinggalah kepada model-model motosikal terkini yang dapat kita lihat pada hari ini.
Motosikal berkuasa petrol terawal dicipta oleh Gottlieb Daimler dan Wilhelm Maybach pada tahun 1885. Hanya pada tahun 1894 motosikal mula dijual kepada orang ramai dan model pertama yang dijual adalah Hildebrand & Wolfmüller buatan Jerman.
Sejarah awal motosikal bermula di benua Eropah dan Amerika Syarikat, namun pada hari ini industri motosikal sebahagian besarnya dikuasai oleh pengeluar-pengeluar dari Jepun sepertiHonda, Yamaha, Suzuki dan Kawasaki. Malaysia juga tidak ketinggalan untuk mengeluarkan motosikal sendiri melalui penubuhan Modenas pada tahun 1995.
Jenis motosikal
Motosikal pada lazimnya boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti berikut:-
- Motosikal sport - Motosikal sport lazimnya menggunakan enjin DOHC berkuasa tinggi antara serendah 50 cc 2 lejang hingga sebesar lebih 1400 cc 4 lejang. Kerangkanya direka dengan kukuh dan tegar agar dapat menampung kuasa enjin serta kelajuan yang tinggi, dan lazimnya kerangka superbike adalah dari jenis aluminium spar berkembar. Tempat duduk serta bar pemegang motosikal superbike dibuat rendah untuk merendahkan tapak graviti agar motosikal menjadi stabil pada kelajuan tinggi. Motosikal sport secara lazimnya mampu mencapai kelajuan tinggi, oleh itu motosikal sport sering digunakan di dalam perlumbaan. Motosikal sport lazimnya dibahagikan kepada beberapa kategori seperti hyper sport (1100 - 1400 cc), superbike (800 - 1100 cc), super sport (600 - 800 cc) dan motosikal sport kecil (50 - 400 cc).
- Sports touring - Motosikal jenis sports touring mempunyai bentuk fizikal yang hampir sama dengan motosikal superbike, tetapi beberapa perubahan dilakukan untuk memberi keselesaan kepada penunggang semasa perjalanan jauh. Tempat duduk serta bar pemegang ditinggikan untuk memberi keselesaan. Enjin juga ditala agar lebih menjimatkan bahan api.
- Cruiser - Motosikal cruiser direka untuk perjalanan jauh. Biasanya enjin bagi sebuah motosikal cruiser mempunyai putaran enjin yang rendah, oleh itu enjin cruiser mempunyai kilasan yang tinggi tetapi kuasa kuda yang tidak begitu tinggi, oleh itu motosikal cruiser menjimatkan bahan api.
- American cruiser / Chopper - Motosikal chopper adalah sejenis motosikal cruiser yang paling digemari di Amerika Syarikat. Motosikal chopper mempunyai bar pemegang yang tinggi, tempat duduk rendah, roda belakang yang jauh lebih besar daripada roda hadapan, pemijak kaki hadapan yang terletak jauh di bahagian hadapan serta digerakkan oleh enjin V berkembar sejukan udara. Secara amnya, motosikal chopper adalah berasaskan rekabentuk model-model motosikal Harley-Davidson.
- Naked - Motosikal naked mendapat gelaran sedemikian kerana motosikal jenis sebegini menampakkan enjinnya serta tidak mempunyai fairing. Sifat enjinnya serta pengendaliannya adalah sama dengan motosikal sports touring.
- Motocross / off-road - Motosikal jenis motocross direka untuk digunakan di luar jalan raya iaitu di jalan tanah merah yang tidak rata. Motosikal motocross mempunyai tempat duduk dan hendal yang tinggi, roda berjejari besar serta sistem suspensinya adalah keras dan mempunyai gerakan yang besar untuk menyerap daya hentakan di jalan tanah merah yang tentunya lebih kuat berbanding di jalan raya. Tayar motosikal motocross juga mempunyai bunga yang banyak bagi mengukuhkan cengkaman di jalan tanah merah.
- Dual-purpose - Motosikal dwikegunaan ini mempunyai bentuk fizikal yang sama seperti motosikal motocross tetapi dipadankan agar selesa digunakan di atas jalan raya biasa.
- Skuter - Motosikal skuter lazimnya ditenagai enjin kecil antara 50 cc hingga 150 cc, tetapi terdapat model-model skuter besar dengan kapasiti antara 250 cc hingga 900 cc. Motosikal skuter amat popular di Eropah kerana menjimatkan minyak serta mudah dikendalikan. Enjin skuter lazimnya terletak di bahagian bawah tengah dan lazimnya terdiri daripada enjin 1 silinder untuk meninggikan kilasan. Model-model skuter terawal menggunakan transmisi manual, tetapi hampir semua model skuter terkini menggunakan transmisi automatik CVT. Tangki minyak skuter kecil terletak di bawah tempat duduk, tetapi tangki minyak skuter besar pula terletak di bahagian hadapan. Skuter moden pada hari ini mempunyai ruang simpanan barang di bawah tempat duduk. Motosikal skuter direka berasaskan model skuter Piaggio Vespa.
- Kapcai - Motosikal kapcai adalah model motosikal kecil yang amat popular di Asia berikutan kadar penggunaan bahan api yang rendah. Motosikal kapcai juga terdapat di Eropah, tetapi ia juga dipanggil skuter di sana. Motosikal kapcai digerakkan oleh enjin kecil antara 50 cc hingga 125 cc, oleh itu motosikal skuter amat menjimatkan bahan api dengan kadar penggunaan petrol serendah antara 38 km/L hingga lebih 50 km/L. Kebanyakan motosikal kapcai menggunakan transmisi manual tetapi menggunakan klac emparan automatik untuk memudahkan penunggang menukar gear tanpa menghadapi masalah enjin hampir mati kerana kurang cekap menggunakan klac manual. Seperti skuter, tangki minyak motosikal kapcai terletak di bawah tempat duduk. Motosikal kapcai direka berasaskan model Honda Cub.tetapi tahap keselamatan motosikal kapcai adalah rendah berbanding motosikal yang lebih besar.
Motosikal juga boleh dipasang dengan tempat duduk sisi (sidecar), malah ada gerai bergerak yang dipasang bersama-sama motosikal bagi membolehkannya diangkut ke mana sahaja.